Search This Blog

Sunday 27 February 2011

Tokoh Agama

TAJUK:
Sejarah seorang tokoh agama di kampung saya

DISEDIAKAN UNTUK:
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah CTU551


DISEDIAKAN OLEH:
Latifah Binti  Abd  Wahab
No Matrik :2010887134
Kumpulan: BMB2Bc

PROGRAM:
Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian)
(Pengurusan Sumber  Manusia)
(BM223)

TARIKH HANTAR:
27  February 2011



ISI KANDUNGAN

1)   KONSEP ILMU
2)   LATAR BELAKANG TOKOH
3)   FAKTOR DAN TUGAS SEORANG IMAM
4)   SALAH SILAH
5)   PEMBAHARUAN
6)   AKTIVITI
7)   MASALAH DAN HALANGAN
8)   CADANGAN DAN LANGKAH
9)   SUMBANGAN
10)          HARAPAN
11)          PESANAN
12)          PENUTUP
13)          RUJUKAN








TAJUK :
SEJARAH SEORANG TOKOH AGAMA DI KAMPUNG  SAYA

Assalamualaikum w.b.t

1)   KONSEP IMAM
Imam ialah orang yang memimpin doa sembahyang di masjid. Dalam Syariah  Islam, imam juga merujuk pada salah satu pemimpin awal yang dihormati masyarakat . Imam dalam istilah sekarang mrujuk kepada mereka yang dilantik oleh pihak berkuasa agama iaitu Jabatan Agama atau Majlis Agama Islam untuk melaksanakan tugas sebagai mengimami atau mengetuai sembahyang lima waktu, sembahyang dan khutbah jumaat, sembahyang hari raya dan hari-hari tertentu keagamaan.  Mungkin lebih luas lagi fungsinya ialah menjadi penanggungjawab agama dan sosial setempat yang mesti manjalankan tugas menyebar luaskan semangat keagamaan serta memenuhi khidmat kemanusian kepada sesiapa yang memerlukan setakat yang termampu. Hal ini demikian kerana masyarakat akan beralih kepada imam masjid jika mereka mempunyai sebarang soalan yang berkaitan dengan agama dan sebagainya.Oleh sebab itu seorang imam biasanya, dikehendaki memenuhi syarat-syarat seperti mempunyai akhlak yang baik dan boleh dijadikan contoh oleh penduduk setempat.




2)      LATAR BELAKANG TOKOH

Nama sebenar tokoh imam ialah Haji Mustakim  Bin Haji Sulaiman atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Cik  Lazim. Beliau berasal dari Kampung Manek Urai Lama. Beliau dilahirkan pada 19 Februari 1950. Beliau merupakn anak yang ke empat daripada tujuh orang adik  beradik . Ayahnyaberasal dari Indonesia manakala ibunya berasal dari Kota Bharu , Kelantan . Beliau telah berkahwin dan dikurniakan dua orang puteri dan lima orang putera. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Manek Urai dan menamatkan pengajiannya sehingga darjah 6 sahaja . Beliau bercita – cita untuk menjadi seorang imam kerana ingin mengikut jejak langkah arwah ayahnya yang juga merupakan pak imam .Jadi , disebabkan rasa ingin tahu yang mendalam dalam bidang agama , beliau sentiasa mengikuti kelas – kelas agama di masjid dan surau – surau yang berdekatan . Kemudian beliau melanjutkan pelajaran ke sekolah pondok di Lubok Tapah , Pasir Mas , Kelantan semata – mata untuk mendalami ilmu ugama atau akhirat seperti usuluddin , feqah dan tasawwuf selama empat tahun . Kemudian selepas pulang beliau berkhidmat sebagai imam sukarelawan di masjid . Manakala pekerjaan hakiki beliau ialah sebagai pemandu pegawai daerah . Beliau menjalankan tanggungjawab sebagai imam dengan sepenuhnya walhal beliau merupakan imam sukarelawan sahaja yakni , beliau menjalankan tugas tanpa mendapat sebarang elaun ataupun imbuhan bulanan .




3)FAKTOR DAN TUGAS SEORANG IMAM

Apabila ditanya mengapa beliau memilih untuk menjadi imam sukarelawan , beliau memberitahu bahawa beliau ingin menegakkan syiar islam dan rasa tanggungjawab yang lahir dari hati . Beliau juga tidak ingin penduduk di kawasan itu alpa atau leka dalam mengejar dunia semata – mata . Di samping itu juga , beliau tidak ingin penduduk – penduduk di kawasan kampung tersebut mendapat kesusahan untuk beribadat kepada Allah S.W.T . Jadi beliau menjalankan tugas tersebut dengan meletakkan sepenuh keikhlasan di hati dan melakukannya kerana Allah S.W.T . Antara tugas – tugas imam masjid ialah menjadi pegawai Syarie dalam kariah masjid itu dan mengimamkan solat fardhu dan apa-apa solat berjemaah lain di masjid itu ,  mengetuai urusan fardu kifayah ke atas jenazah orang Islam yang mati di kariah masjid itu sehingga sempurna dikebumikan ,  membaca khutbah Jumaat dan khutbah Hari Raya ,  memberikan nasihat dan tunjuk ajar dalam perkara-perkara tentang agama Islam kepada anak kariah masjid itu sedaya upayanya ,  mengetuai, mengawasi dan mengatur pengajaran agama Islam di kalangan anak -anak kariah masjid itu ,  membimbing Bilal, Siak dan anak kariah masjid itu dalam menjalanan tugas-tugas Imam ,  menghadiri tiap-tiap mesyuarat Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah masjid itu ,  dan yang terakhir menerima dan mematuhi apa-apa arahan yang diberikan oleh MAIS atau Setiausaha MAIS atau oleh Nazir masjid itu.




4)      SALAH SILAH
Salah – silah beliau menjadi pak imam bukan secara pemilihan yang dilakukan oleh pihak Jabatan Agama atau Majlis Agama Islam tetapi berdasarkan suara majoriti penduduk kampung tersebut . Oleh kerana beliau telah berpengalaman mengimamkan Jemaah dan orang lain tiada keyakinan serta pengalaman , maka beliau dengan rela hati ingin menyumbangkan tenaga beliau untuk menjadi imam secara percuma  sahaja . Menurutnya , perbuatan tersebut merupakan satu daripada tuntutan agama islam dan beliau ingin melaksanakannya . Pada masa yang sama , beliau ingin menegakkan syiar islam dan membangunkan umat islam .


5)      PEMBAHARUAN

Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau , banyak pembaharuan telah dilakukan . Salah satu daripadanya ialah pembinaan masjid baru pada tahun 1994 . Pada kali ini , masjid tersebut dibina di kawasan yang berdekatan dengan orang ramai . Jadi secara tidak langsung , masjid tersebut dapat menarik ramai Jemaah . Kos peruntukan pembinaan masjid telah di tanggung sepenuhnya oeleh pihak kesedar di kampung tersebut . Di samping itu juga , kutipan derma daripada penduduk kampung juga telah di buat untuk menambah baikkan lagi masjid tersebut . Alhamdulillah , setelah masjid itu siap dibina , ramai penduduk termasuk anak – anak muda pergi ke masjid untuk menunaikan solat secara berjemaah . Tidak kira  sama ada solat Jemaah fardhu , solat jumaat , solat hari raya dan sebagainya masjid tersebut sentiasa di penuhi oleh Jemaah . Genap bulan ini , beliau telah berkhidmat sebagai imam sukarelawan selama 30 tahun .


6)      AKTIVITI

Banyak aktiviti yang telah dijalankan di masjid tersebut . Salah satu daripadanya ialah , tiap – tiap malam isnin dan malam jumaat pihak masjid akan menjemput penceramah dari luar untuk datang mengajar kitab – kitab agama kepada Jemaah sekalian . Ada sesetengah penceramah yang mengambil bayaran untuk setiap sesi ceramah diadakan dan ada juga penceramah yang tidak mengambil bayaran .Kebiasaannya , kos yang perlu dibayar untuk setiap sesi ceramah ialah dalam lingkungan RM 15 hingga RM 20 sahaja . Jadi servis tersebut akan dibayar dengan menggunakan duit tabung masjid . Motif utama pihak masjid menjemput penceramah dari luar adalah untuk meluaskan lagi pengetahuan agama islam dan sekaligus dapat mendekatkan diri kepada Alla  S.W.T .
Selain daripada itu , aktiviti gotong – royong juga turut diadakan . Aktiviti tersebut diadakan sebanyak satu kali dalam sebulan . Semasa aktiviti gotong – royong dijalankan , semua penduduk akan turut serta pada hujung minggu . Antara kawasan yang dibersihkan adalah sekitar kawasan masjid seperti tandas , tempat ambil air sembahyang , tempat beribadat , kawasan parking , dan sebagainya . Tujuan utama mengadakan aktiviti gotong – royong adalah untuk memupuk semangat perpaduan antara satu sama lain di samping membersihkan dan memperindahkan lagi rumah Allah . Aktiviti ini juga secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan dan mengukuhkan lagi ukhwah sesama umat islam   sejagat . Setelah selesai membersihkan kawasan masjid , mereka akan dihidangkan dengan sedikit juadah seperti kuih – muih dan air sebagai alas perut . Juadah tersebut disediakan hasil daripada duit tabung masjid .
Sudah menjadi kebiasaan pada bulan ramadhan al – Mubarak , solat Jemaah  terawih akan diadakan pada tiap – tiap malam . Bulan ramadhan merupakan bulan untuk umat islam beribadat kepada Allah S.W.T . Amalan berpuasa bertujuan untuk membersihkan jiwa batin dan membebaskan diri daripada melakukan aktiviti duniawi .  Bulan Ramadhan berbeza dengan bulan-bulan yang lain dan lebih baik dari seribu bulan kerana di dalamnya terkumpul banyak ibadah yang tidak dilakukan pada bulan lain contohnya Solat Tarawih, Solat Lailatulqadar dan sebagainya . Jadi setiap muslim perlu mengambil peluang ini kerana bulan ramadhan hanya datang sebulan sahaja dalam setahun . Pada bulan ini , masjid akan sentiasa dilimpahi  dengan orang ramai tidak kira sama ada golongan muda ataupun golongan yang berumur kerana masing – masing ingin menambahkan pahala amalan mereka .Kebiasaannya , masjid tersebut akan melakukan solat terawih sebanyak 20 rakaatsahaja . Selepas solat terawih , jemaah dapat menikmati moreh yang akan disediakan pada setiap malam . Kos perbelanjaan moreh akan ditanggung hasil daripada duit tabung masjid yang telah didermakan dari orang ramai .Sering  kali , pihak masjid akan mendapat tajaan daripada penduduk di kawasan tersebut  dalam menyediakan moreh dan juadah untuk berbuka puasa bersama – sama dengan Jemaah .

Aktiviti seterusnya ialah mengadakan qiamullai pada bulan ramadhan  . Dalam  Hadith ada menyebut :

Dari Abu Hurairah r.a berkata: “Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiyamullail (solat malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda: “Sesiapa yang solat malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang telah lalu.”

Hal ini menerangkan bahawa Rasulullah S.A.W amat menggalakkan umatnya supaya menghidupkan malam dengan mengerjakan ibadat kerana fadhilatnya amat besar di sisi Allah S.W.T. Antara amalan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dalam menghidupkan malam (qiamullail) ini ialah melakukan solat sunat, berzikir, membaca al-Quran, membanyakkan istighfar serta beriktikaf di masjid. Selaku umat Islam, kita sepatutnya mencontohi baginda serta berusaha bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan memanfaatkan bulan ini sebaik-baiknya terutama sekali dalam sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan di mana Rasulullah S.A.W dalam kebanyakan hadith memberitahu mengenai kemungkinan besar pada malam-malam ini terutama malam ganjil adalah merupakan malam lailatul qadar yang mempunyai kelebihan melebihi seribu bulan . Jadi , penduduk akan tidur di masjid pada malam hari yakni setelah usai mengerjakan solat Jemaah dan terawih untuk menunaikan qiamullai . Qiamullai akan diadakan pada jam 4 pagi , jadi Jemaah lain boleh melakukan aktiviti yang mendatangkan faedah sperti mengaji sementara menunggu masa untuk melakukan qiamullai . Kemudian tepat jam 4 pagi mereka akan dikejutkan untuk melakukan qiamullai bersama – sama .


 7)      MASALAH DAN HALANGAN

Menurutnya , dalam mentadbir masjid , banyak masalah ataupun kekangan yang terpaksa beliau tempuhi . Bak kata pepatah hidup ini tidak akan mencabar apabila tiada halangan . Antara masalah genting yang dihadapi oleh beliau ialah masalah kekurangan pak imam . Hal ini demikian kerana , selama beliau berkhidmat selama 30 tahun , beliau tidak mempunyai pelapis sekalipun . Perkara ini amat membimbangkannya kerana siapa yang akan menjadi imam selepas beliau bersara atau uzur  .  Selain daripada itu , tokoh – tokoh imam di kawasan tersebut tidak mempunyai keyakinan serta pengalaman dan belum bersedia dari segi mental dan fizikal untuk memimpin Jemaah – Jemaah lain . Maka sangat wajarlah masjid tersebut memerlukan imam lain supaya dapat menggantikan beliau pada masa tertentu . Hal ini demikian kerana , beliau masih lagi mempunyai komitmen ke atas pekerjaan hakiki beliau . Jadi beliau perlu membahagikan masa dengan cekap dalam menjalankan  ke dua – dua tugas yang telah diamanahkan .

Selain daripada itu , kekangan lain yang turut dihadapi oleh beliau semasa mentadbir masjid ialah masalah berkaitan dengan kemudahan . Memanglah , tidak dapat dinafikan bahawa kemudahan yang disediakan dahulunya  mencukupi bagi penduduk kampung tersebut , tetapi kebanyakan kemudahan seperti alatan yang disediakan telah rosak dan tidak dapat digunakan lagi . Menurut beliau , masjid tersebut telah dibina pada tahun 1994 dan dalam tempoh jangka waktu sekarang peralatan atau kemudahan belum pernah lagi digantikan . Jadi , apabila pihak masjid menganjurkan aktiviti seperti membuat bubur as – syura dan bubur lambuk secara beramai – ramai  , pihak masjid terpaksa meminjam alatan tersebut dari sumber lain . Kadang kala pihak masjid terpaksa menangguhkan aktiviti tersebut kerana ketiadaan alat untuk membuatnya .


8)      CADANGAN DAN LANGKAH

Jadi untuk membendung masalah – masalah tersebut , pak imam telah mengusulkan beberapa cadangan . Salah satu daripadanya ialah , mengadakan program mendidik anak – anak muda ataupun golongan yang berminat dan mempunyai kelayakan untuk menjadi imam . Program tersebut bercirikan  ala – ala program realiti tv iaitu program imam muda . Dalam program ini , setiap individu akan ditapis dahulu sama ada individu tersebut layak ataupun tidak untuk menggalas tanggungjawab tersebut . Kemudian individu tersebut akan menjalani kursus selama 4 bulan untuk mendalami ilmu agama di sekolah – sekolah pondok ataupun sekolah agama yang lain . Selepas itu , peserta – peserta tersebut akan diuji dengan pelbagai soalan  . Peserta tersebut juga perlu melakukan fardu ain dan fardu kifayah seperti , mengafankan jenazah dan sebagainya . Program ini bertujuan untuk melahirkan seorang imam yang mempunyai tahap keyakinan yang tinggi , petah untuk berkata – kata dalam bidang agama , tidak takut untuk menyuarakan pendapat , sentiasa mengingati antara satu sama lain ke arah kesedaran dan menjadi seorang pemimpin yang berhemah . Jadi , tidak mustahil jika program ini dapat melahirkan ramai golongan imam .

Seterusnya , langkah untuk mengatasi masalah yang berkenaan dengan kerosakan kemudahan ialah pihak masjid akan mendapatkan bantuan dari pihak yang berkenaan . Sekiranya  masalah yang dihadapi merupakan masalah yang kecil seperti berlakunya kebocoran di saluran – saluran paip , masalah mentol terbakar , longkang tersumbat , kekurangan kain telekung dan sebagainya pihak masjid akan cuba membetulkan keadaan tersebut . Pihak masjid akan memanggil orang yang mahir dalam bidang tersebut untuk membaiki kerosakan – kerosakan kecil   tersebut . Kos untuk membiayai kerosakan tersebut diperolehi  daripada hasil kutipan derma daripada orang ramai . Jadi masalah tersebut dapat diatasi .Manakala , jika kos perbelanjaan untuk membeli peralatan tidak mencukupi dan melebihi daripada peruntukan yang sedia ada , maka pihak masjid akan mengambil jalan insentif yang lain . Salah satu daripadanya ialah memohon peruntukan daripada pihak yang berkenaan seperti badan kebajikan negeri dan sebagainya .Secara konklusinya , semua pihak perlu mempunyai rasa tanggungjawab dalam menjaga kemudahan yang telah disediakan .

  
9)      SUMBANGAN

Secara kasarnya beliau telah berkhidmat selama 30 tahun dan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau , banyak sumbangan yang telah dilakukannya . Perkara yang jelas kita nampak ialah beliau telah menyumbangkan tenaga beliau untuk menjadi seorang imam sukarelawan sahaja . Walaupun jarak antara rumah beliau dengan masjid tersebut agak jauh iaitu kira – kira 2 kilometer , tetapi perkara tersebut tidak pernah mematahkan semangat beliau dalam berbakti kepada negara dan anak – anak  bangsa . Beliau sememangnya seorang insan yang kuat semangat . Tidak kira sama ada musim hujan ataupun musim panas , beliau tetap pergi melaksanakan tugas yang telah diamanahkan secara percuma sahaja  sedangkan beliau juga mempunyai banyak komitmen yang harus diambil kira . Perbuatan beliau merupakan satu perbuatan yang mulia di sisi Allah  S.W.T . Memang susah untuk kita mencari pengganti seperti beliau ibarat satu dalam seribu .

Di samping itu juga , tiap -  tiap hari raya korban , beliau akan mensedekahkan seekor lembu untuk dijadikan korban . Selepas melakukan sembelihan ke atas lembu tersebut , beliau akan membahagikan terus bahagian – bahagian  daging lembu tersebut kepada penduduk di kawasan tersebut . Kemudian beliau akan membuat majlis makan  secara beramai – ramai . Pada masa ini ,  semua penduduk akan melakukan kerja bersama – sama seperti memasak  dan sebagainya . Jadi penduduk dapat melestarikan lagi hubungan mereka sesame saudara islam .



   10) HARAPAN

Kemudian perkara yang terakhir sekali merupakan harapan beliau yang masih belum lagi ditunaikan . Harapan beliau ialah ingin mendirikan sebuah rumah masjid . Rumah masjid yang dimaksudkan oleh beliau ialah rumah yang dibina dalam kawasan masjid itu sendiri .Katanya , beliau teringin sangat rumah tersebut dibina supaya pak imam yang baru  dapat melakukan melaksanakan tugas – tugas sebagai pak imam secara sepenuh masa . Rumah masjid tersebut berfungsi sebagai tempat untuk para imam beribadat  dengan penuh khusyuk dan tawaduq . Jadi imam tersebut dapat menjalankan tugasnya dengan sebaik mungkin .



11) PESANAN

Sebelum mengakhiri  , beliau telah berpesan supaya rajin dalam menuntut ilmu tidak kira sama ada ilmu duniawi ataupun ukhrawi . Sebagai seorang hamba  Allah  S.W.T kita perlulah mengabdikan diri kepadaNYA dan melakukan sesuatu dengan niat kerana  Allah S.W.T . Perkara yang paling penting ialah sebagai umat islam , kita tidak boleh meninggalkan solat kerana solat merupakan tiang agama . Akhlak mencerminkan keperibadian seseorang insan dan menjadi tanggungjawab kita semua untuk memperkayakan budi pekerti masing – masing . Sebagai umat islam yang sejati , kita hendaklah sentiasa saling mengingati dan jadikan iktibar atas setiap perkara yang berlaku ke atas diri kita tidak kira sama ada perkara yang elok mahupun tidak . Jadi renung – renungkanlah bersama .



12)PENUTUP

Kesimpulan yang dapat dibuat berdasarkan sejarah tokoh yang saya kaji ialah kita perlulah sentiasa bersifat ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan . Apabila hati kita ikhlas dan sentiasa redha , insyaalah segala masalah yang mendatang akan dapat diatasi . Sesungguhnya Allah S.W.T amat sayang akan umatnya . Jadi kita perlulah berakhlak kepada Allah dengan melakukan ketaatan dan beribadat dengan sepenuh hati .  Antara perlakuan yang berakhlak baik ialah sembahyang, puasa, meninggalkan dosa dan seumpamanya . Selain daripada itu juga , kita hendaklah berakhlak sesama manusia dengan menjalinkan hubungan yang baik di antara umat-umat Islam dimana kita perlulah menolong mereka yang kesusahan, bersikap tolak ansur, bertanggungjawab dan berkasih-sayang . Sikap ini jelas menggambarkan peribadi beliau yang telah menolong penduduk kampong di kawasan tersebut dalam beribadat kepada Allah S.W.T . Jadi kita perlu mencontohi sifat – sifat mahmudah dan meninggalkan sifat – sifat mazmumah .


Sekian , terima kasih .


13)RUJUKAN


·    http://www.answers.com/topic/imam 
·       sumber dari hasil daripada temu bual bersama tokoh imam
·       pemerhatian dan pandangan orang sekeliling
·       gambar – gambar tokoh imam dan juga masjid


Haji Mustakim Bin Haji Sulaiman



Masjid Kampung Manek Urai Lama